Thursday, December 13, 2007

kencing berdiri..apa hukumnya?



عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ:
كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَانْتَهَى إِلَى سُبَاطَةِ قَوْمٍ، فَبَالَ قَائِماً، فَتَنَحَّيْتُ.
فَقَالَ: "ادْنُهْ" فَدَنَوْت حَتَّى قُمْتُ عِنْدَ عَقِبَيْهِ، فَتَوَضَّأَ، فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ
.


Huzaifah r.a. menceritakan; Aku bersama Nabi s.a.w.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi s.a.w. kencing di situ sambil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi baginda. Namun baginda berkata kepadaku; ‘Hampirilah’. Aku pun menghampiri Nabi hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Setelah selesai kencing, Nabi mengambil wudhuk dengan menyapu dua khufnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan keharusan kencing sambil berdiri, bukan menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w.. Kebiasaan Nabi s.a.w. ialah kencing sambil duduk sebagaimana riwayat dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang berkata;

حديث عائشة -رضي الله عنها- قالت: من حدثكم أن النبيّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- كان يبول قائماً فلا تصدقوا ما كان يبول إلا قاعداً، رواه أحمد بن حنبل والترمذي والنسائي وآخرون، وإسناده جيد، والله أعلم.


“Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi s.a.w. kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menegaskan; hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka; perbuatan Nabi kencing berdiri dalam hadis pertama di atas adalah kerana ada keuzuran bagi baginda; kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafi’ie; orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas r.a. pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Kesimpulannya; kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulamak di atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir; “Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi s.a.w.”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;


Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 3, Kitab at-Toharah, Bab al-Mashi ‘Ala al-Khuffain.

Saturday, December 1, 2007

Tokoh Ulamak & Pemikir yang saya kagumi

Kisah kehidupan seorang Menteri Besar bernama TG Nik Abdul Aziz di pagi hari yang menjadi rutin kehidupan hariannya dalam seminggu, bermula daripada dia keluar rumah di waktu pagi hinggalah dia pulang ke rumah di waktu malam, iaitu pergerakan yang boleh menjadi perhatian umum - tidak yang bersifat peribadi dan rahsia.

Belum ada lagi pemimpin Melayu/Islam yang mampu menandingi kezuhudan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Cakapnya perlahan, tapi isinya dalam, beliau dihormati kawan dan lawan.

Tenang, warak, penyabar dan pemurah adalah merupakan ciri-ciri utama yang terkandung di dalam peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang ke-5.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama dan tokoh politik tanahair yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Tidak syak lagi, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan paling gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen yang perlu ditegakkan di negara ini.

Alhamdulillah, berkat kesabaran, kegigihan dan komitmennya yang total di dalam perjuangannya itu, akhirnya fajar kejayaannya sudah mula menyinsing di titi kenyataan hidup. Kelantan sudahpun dapat ditawannya. Berikutnya beliau telah dipilih untuk mengetuai kabinet Kerajaan Islam di negeri ini.

Selaku Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah yang baru sahaja jatuh ke tangannya itu. Pelbagai saranan dan pembaharuan yang membina telah diperkenalkannya.


Beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya.
Beliau memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan. Dan beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

Ketaralah, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.