Tuesday, August 31, 2010

*sAntAi-SaNtaI*

Panduan Mengecat Rumah Dengan Betul



MENGECAT seperti seni lukisan memerlukan teknik dan langkah yang betul bagi mendapatkan impak berkesan. Jika karya lukisan dikagumi kerana memaparkan estetika, dinding kediaman sesuai gaya penataan berupaya mengungkap karektor ruang sekali gus menyediakan suasana menarik untuk dihayati. Bagi mendapatkan hasil sempurna, empat langkah mengecat disediakan ICI Dulux Colour Solutions berupaya membantu khasnya mengenai bagaimana dan di mana kerja-kerja mengecat perlu dimulakan. Empat langkah yang perlu di ambil kira jika mahukan hasil cat yang baik iaitu:
Bersihkan permukaan yang mahu dicat

Sebelum kerja mengecat dimulakan, pastikan permukaan mana-mana ruang sama ada di dalam dan luar kediaman dibersihkan terlebih dulu. Untuk kawasan luar rumah, biasanya akan ada masalah ruang atau dinding berkapur, berlumut atau ada sisa cat yang tertinggal atau cat merekah. Justeru, gunakan saja penyembur air berkuasa tinggi untuk membuang sisa atau kapur yang terlekat. Boleh juga gunakan sudip untuk membuang sisa cat atau lumut yang terlekat. Bagi ruang dalaman rumah, penggunaan penyembur air berkuasa tinggi atau air yang banyak sudah tentu tidak sesuai kerana ia boleh membasahkan ruang berkenaan. Justeru, gunakan kain pengelap dan basahkan dengan sedikit air untuk membuang habuk atau kapur yang melekat di dinding.

Pilih peralatan yang berkualiti
Selepas permukaan dinding dibersihkan, maka kerja mengecat sudah boleh dilaksanakan. Namun, pemilihan peralatan mengecat perlulah berkualiti jika anda mahukan hasil yang baik. Untuk kerja mengecat, berus atau penggelek cat perlu berkualiti. Pastikan bulu berus cat tidak mudah tercabut kerana ia akan mengganggu kerja mengecat dan menghasilkan cat yang tidak rata. Berus dan penggelek cat yang baik biasanya boleh dibasuh dan digunakan semula. Basuh menggunakan air biasa atau minyak mengikut jenis cat yang digunakan. Berus dan penggelek cat yang baik biasanya menggunakan bahan yang lembut bukannya keras.

Pilih cat yang sesuai

Gunakan cat untuk luar rumah hanya untuk kawasan berkenaan saja. Cat luar kediaman biasanya boleh juga digunakan untuk ruang dalaman kediaman. Namun, cat untuk dalaman rumah tidak boleh digunakan di luar kediaman. Baca label pada tin sebelum memilih cat. Cat ada beberapa jenis mengikut kandungan dan kesesuaian serta material yang digunakan. Jangan gunakan cat untuk besi bagi permukaan berasaskan kayu begitu juga sebaliknya.

Waktu mengecat

Kerja mengecat sebenarnya tidak boleh dilakukan sesuka hati saja. Untuk mendapatkan hasil yang baik beberapa perkara perlu di ambil kira terutama jika kerja mengecat membabitkan kawasan di luar kediaman. Waktu yang paling sesuai untuk mengecat luar kediaman adalah pada waktu pagi dan petang iaitu ketika matahari tidak terik. Ini kerana sesetengah cat cepat kering dan tidak digalakkan mengecat pada waktu panas terik kerana ia memberi tindakan kimia kepada cat yang digunakan. Apabila cat cepat kering akan menyebabkan cat merekah. Elakkan mengecat pada waktu hujan kerana ia menyebabkan cat hilang.

Tip: Langkah kerja mengecat
• Siling - Amalkan mengecat bahagian siling dulu bagi mengelakkan cat menitis terus ke atas permukaan lantai dan dinding.
• Dinding - Cat sempadan dulu selanjutnya menghala ke bawah. Sentiasa mulakan dengan mengecat tingkap terletak di hujung bilik dan jauh dari sumber cahaya bagi memudahkan anda melihat bahagian kawasan yang sudah selesai dicat.
• Tingkap dan pintu - Sebelum mula, lindungi bahagian yang tidak perlu dicat seperti engsel, tombol, selak dan sebagainya. Bagi tingkap, cat bahagian rangka dalamnya dulu baru diikuti bingkai serta rangka yang lain. Sementara, untuk pintu, cat mana-mana acuan dulu sebelum panel, segmen melintang dan menegak manakala tubir pintu dicat akhir sekali.
• Lantai - Ia dicat selepas dinding dan bahagian lain kering sepenuhnya. Bagaimanapun, pastikan lantai dibersih terlebih dulu kerana partikel habuk dan butir pasir menjadikan cat dilihat menggerutu dan tidak rata.

Friday, August 27, 2010

From Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan !

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang."

Non Muslim memasuki masjid @surau..Bicara Hukum !

Di dalam mazhab asy-Syafie orang kafir haram dan ditegah
sama sekali daripada masuk Masjidil Haram sebagaimana
firman Allah swt di dalam surah at-Taubah : 28

Di dalam kitab I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid karangan
Muhammad Abdullah az-Zarkasyi ada dibahaskan tentang
hukum orang musyrik masuk ke masjid selain Masjidil Haram.

Menurut kitab tersebut, orang kafir dibolehkan masuk ke dalam
masjid dan diam di dalamnya, sekalipun dia di dalam keadaan
junub.

Ini berdasarkan hadith Baginda saw yang menjelaskan bahawa
pada zaman Baginda saw orang-orang kafir masuk ke dalam
masjid Baginda yang tidak diragukan lagi bahawa mereka itu dalam
keadaan berjunub. (I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid : 318 )

Sebab keharusan ini kerana mereka beriktiqad bahawa tidak
haram hukumnya ke atas mereka masuk ke dalam masjid dalam
keadaan berhadas besar. Berlainan pula halnya dengan orang
Islam, mereka ditegah masuk atau berada di dalam masjid dalam
keadaan berhadas besar atau berjunub sebagaimana menurut
ketentuan syarak terhadap mereka.

Keharusan orang kafir masuk ke dalam masjid selain Masjidil
Haram berdasarkan hadith Baginda saw yang diriwayatkan oleh
Abu Hurairah ( yang bermaksud ) :

“Rasulullah saw telah mengutus pasukan berkuda ke Najd.
Kemudian mereka datang kembali dengan membawa seorang (
tawanan ) lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsauban bin
Utsal lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. (
HR al-Bukhari )

Imam ar-Rafie dan Imam an-Nawawi rahimahumallah berpendapat
secara mutlak membolehkan orang kafir memasuki masjid selain
Masjidil Haram tetapi dengan mendapat keizinan orang Islam.
Sementara itu, orang Islam yang memberi kebenaran kepada
mereka untuk masuk itu hendaklah seorang yang baligh dan
berakal.

Daripada penjelasan para ulama’ Syafiiyyah di atas, jelas
bahawa orang kafir adalah dibolehkan masuk ke dalam masjid
selain Masjidil Haram apabila telah memenuhi syarat-syarat
yang telah dijelaskan.

Untuk ini, pihak masjid memang perlu membuat peraturan sesuai
dengan kehormatan dan kesucian masjid, umpamanya dimestikan
memakai pakaian yang sopan atau menutup aurat, tidak
meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa-
masa yang sesuai dan lain-lain peraturan yang munasabah.


sumber: buku himpunan fatwa Mufti Kerajaan negara Brunei Darussalam

*Adapun non Muslim ingin memasuki Masjid@surau mesti memahami serta mengikut peraturan supaya tidak menimbulkan fitnah.

Wednesday, August 18, 2010

Kes Buang Bayi & Jalan Penyelesaian Mengikut Perundangan Islam~Perbincangan Ilmiah~

KES pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi hasil hubungan luar nikah pasangan muda yang terlanjur tidak kira kerana suka sama suka, terlalu percayakan lelaki, dirogol atau tekanan keluarga, kian membimbangkan.

Melihat bayi dibuang seperti sampah, ditinggalkan di merata tempat, menggambarkan sifat manusia yang semakin kejam hingga sanggup membunuh sedangkan al-Quran menegaskan tiada siapa yang boleh mencabut nyawa sama ada dirinya atau orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Dan apabila bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di tanya. Apakah dosanya sehingga dia dibunuh?” (Surah at-Takwir, ayat 8-9)

Jika diajukan soalan ini, pasti pihak tidak berperikemanusiaan itu tidak boleh menjawabnya.

Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak menggunakan kewarasan dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan sah kerana secara fitrahnya manusia berhajat serta mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran.” (Hadis riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Anak sepatutnya dibelai dengan kasih sayang. Perlakuan membiarkan atau mengabaikan anak menjadikan manusia lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tahu sayangkan anak.

Melihat realiti pembuangan bayi yang menggerunkan, langkah kerajaan memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat adalah langkah wajar.

Kes pembuangan bayi dicadangkan diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hukuman gantung sampai mati juga bertepatan dengan konsep qisas diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah, bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam tertakluk di bawahnya lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda.

Qisas bermaksud memotong dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan syarak melalui nas al-Quran dan hadis. Kesalahan diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas, seseorang penjenayah mesti dikenakan hukuman sama seperti dilakukan terhadap mangsanya. Jika membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak
membalasnya maka jadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah, ayat 45)

Pembunuhan dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu pembunuhan sengaja, pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja. Pembunuhan sengaja ialah membunuh dengan niat yang dikenakan hukuman qisas atau diat.

Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Dalam kes pembuangan bayi, seseorang yang membuang bayi hingga menyebabkan kematian atau tidak boleh dianggap sebagai membunuh dengan sengaja.

Pembunuhan separuh sengaja ialah seperti memukul dengan tongkat atau melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang itu (tanpa niat membunuhnya).

Pembunuhan tidak sengaja pula seperti seorang tertembak rakan disangkanya binatang buruan. Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat saja.

Bagi hukuman membabitkan penjara pula, termasuk dalam kategori hukuman yang dikenakan atas kesalahan takzir, hukuman ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kemunasabahan dengan mengambil kira suasana serta keadaan pesalah.

Langkah menguatkuasakan hukuman berat wajar untuk membawa pihak bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan membuang bayi kerana perbuatan mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang. Kesedaran kepada masyarakat saja tidak mencukupi.

Sebaliknya, masyarakat harus disedarkan perlakuan jenayah membuang bayi ini dengan mengenakan hukuman berat seperti gantung sampai mati ataupun hukuman penjara. Ini perlu bagi membendung gejala ini yang semakin berleluasa.

*Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
sumber : berita harian

Sunday, August 8, 2010

Masjid Apollo Cairo Egypt *versi Ramadhan Karem*


Teringat daku Imam Syeikh Ali
menjadi imam terutama dalam bulan Ramadhan
walaupon hanya melakukan solat Teraweh 8 rakaat,
bacaannya begitu tartil bertadabbur
sesiapa mendengar bacaannya dapat menghayati
alunan lunak suara merdunya

p/s ; rindunye nak dengar suara Syeikh Ali..Allahu Rabbi (",)

Monday, August 2, 2010

Hukum Membasahkan hujung jari dengan air liur apabila membuka Mushaf Al-Quran

وفي القليوبي على المحلي يجوز ما لا يشعر بالإهانة كالبصاق على اللوح لمحوه ؛ لأنه إعانة ا هـ .
وفي فتاوى الجمال الرملي جواز ذلك حيث قصد به الإعانة على محو الكتابة وفي فتاوى الشارح يحرم مس المصحف...ليه ريق إذ يحرم إيصال شيء من البصاق إلى شيء من أجزاء المصحف



oleh itu kalau guna air liur atau ludah untuk membantu membalik muka surat atau mushaf maka dibenarkan selagi tidak membawa kepada penghinaan cth meludah atas papan lauh untuk sapu tulisan al-quran mgkt fatwa imam al-jamal dan imam ramli. pada pandangan lain haram sentuh mushaf dengan air liur