Saturday, October 13, 2007

BERHARI RAYA (`IED AL-FITHRI) BERSAMA RASULULLAH SAW

Definisi `Ied Al-Fithri

Secara bahasa `Ied adalah sesuatu yang berlaku secara berulang-ulang atau suatu hari yang terjadi perkumpulan. Menurut Ibnul `Arabi rahimahullah: Hari raya disebut `Ied, kerana hari itu kembali muncul setiap tahun dan membawa kegembiraan baru. - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari (edisi terjemahan oleh M. Abdul Ghoffar E.M., Pustaka Imam Asy-
Syafi'i, Jakarta 2005), ms. 11.

Fithri atau fitrah pula bermaksud sediakala atau sifat asal. Justeru itu Hari Raya `Ied al-Fithri adalah salah satu dari hari kebesaran umat Islam yang disambut pada tanggal 1 Syawal setiap tahun bagi menyambut kejayaan umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadah sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak dan kembali kepada fitrah iaitu sifat asal manusia yang dibenarkan makan dan minum sepanjang hari. Menurut al-`Allamah Ibnu `Abidin rahimahullah:

Disebut `Ied, kerana pada hari itu Allah Ta'ala memiliki berbagai macam kebaikan yang akan kembali kepada hamba-hambaNya setiap hari, yang di antaranya (tidak berpuasa) setelah adanya larangan makan dan minum (pada bulan Ramadan), zakat fitrah, … Dan kerana kebiasaan yang berlaku pada hari tersebut adalah kegembiraan, kebahagiaan, keceriaan dan hubur (kenikmatan). - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 11.

Dalil disyari'atkan `Ied al-Fithri sebagai hari kebesaran bagi umat Islam adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik radhiallahu 'anh, dia berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian
sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri." - Hadis riwayat Imam al-Nasa'i, di dalam Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Sholah, hadis no: 959

Amalan-Amalan Yang Disunnahkan Pada Hari Raya `Ied Al-Fithir

Bertakbir
Tentang jangka masa untuk bertakbir Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata: Takbir pada hari `Ied al-Fithri dimulai ketika terlihatnya hilal (anak bulan), dan berakhir dengan selesainya `Ied iaitu ketika imam selesai dari khutbah, (demikian) menurut pandangan yang benar. - Majmu' Fatawa

Mandi Di Pagi `Ied
Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh pernah ditanya tentang mandi; apakah perlu mandi setiap hari? Maka beliau menjawab: Tidak perlu. Namun, yang perlu mandi ialah pada hari Jumaat, hari `Arafah, hari `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri.

Makan Sebelum Solat `Ied Al-Fithri
Adalah disunnahkan untuk menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan Solat `Ied al-Fithri. Ini bertujuan untuk menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari `Ied. Menurut al-Muhallab rahimahullah: Adapun hikmah makan sebelum solat `Ied adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia harus berpuasa sampai melaksanakan solat `Ied. Maka seakan-akan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin menutup prasangka semacam ini.

Memakai Pakaian Yang Indah
Adalah disunnahkan untuk kita menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada Hari Raya. Imam al-Syafi'i rahimahullah berkata: Saya lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dia miliki pada hari-hari raya iaitu hari Jumaat, dua hari raya (iatu `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri), dan tempat-tempat keramaian. Hendaklah dia memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.


Berjalan Kaki Menuju Tempat Dikerjakan Solat `Ied
Adalah dianjurkan untuk berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat `Ied jika tidak memberatkan. Ini sebagaimana yang diwayatkan dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh: Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju tempat solat `Ied dan memakan sesuatu sebelum berangkat. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi di dalam Sunan al-Tirmidhi