Friday, August 27, 2010

Non Muslim memasuki masjid @surau..Bicara Hukum !

Di dalam mazhab asy-Syafie orang kafir haram dan ditegah
sama sekali daripada masuk Masjidil Haram sebagaimana
firman Allah swt di dalam surah at-Taubah : 28

Di dalam kitab I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid karangan
Muhammad Abdullah az-Zarkasyi ada dibahaskan tentang
hukum orang musyrik masuk ke masjid selain Masjidil Haram.

Menurut kitab tersebut, orang kafir dibolehkan masuk ke dalam
masjid dan diam di dalamnya, sekalipun dia di dalam keadaan
junub.

Ini berdasarkan hadith Baginda saw yang menjelaskan bahawa
pada zaman Baginda saw orang-orang kafir masuk ke dalam
masjid Baginda yang tidak diragukan lagi bahawa mereka itu dalam
keadaan berjunub. (I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid : 318 )

Sebab keharusan ini kerana mereka beriktiqad bahawa tidak
haram hukumnya ke atas mereka masuk ke dalam masjid dalam
keadaan berhadas besar. Berlainan pula halnya dengan orang
Islam, mereka ditegah masuk atau berada di dalam masjid dalam
keadaan berhadas besar atau berjunub sebagaimana menurut
ketentuan syarak terhadap mereka.

Keharusan orang kafir masuk ke dalam masjid selain Masjidil
Haram berdasarkan hadith Baginda saw yang diriwayatkan oleh
Abu Hurairah ( yang bermaksud ) :

“Rasulullah saw telah mengutus pasukan berkuda ke Najd.
Kemudian mereka datang kembali dengan membawa seorang (
tawanan ) lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsauban bin
Utsal lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. (
HR al-Bukhari )

Imam ar-Rafie dan Imam an-Nawawi rahimahumallah berpendapat
secara mutlak membolehkan orang kafir memasuki masjid selain
Masjidil Haram tetapi dengan mendapat keizinan orang Islam.
Sementara itu, orang Islam yang memberi kebenaran kepada
mereka untuk masuk itu hendaklah seorang yang baligh dan
berakal.

Daripada penjelasan para ulama’ Syafiiyyah di atas, jelas
bahawa orang kafir adalah dibolehkan masuk ke dalam masjid
selain Masjidil Haram apabila telah memenuhi syarat-syarat
yang telah dijelaskan.

Untuk ini, pihak masjid memang perlu membuat peraturan sesuai
dengan kehormatan dan kesucian masjid, umpamanya dimestikan
memakai pakaian yang sopan atau menutup aurat, tidak
meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa-
masa yang sesuai dan lain-lain peraturan yang munasabah.


sumber: buku himpunan fatwa Mufti Kerajaan negara Brunei Darussalam

*Adapun non Muslim ingin memasuki Masjid@surau mesti memahami serta mengikut peraturan supaya tidak menimbulkan fitnah.