Friday, September 14, 2007

Kelazatan Iman...ku masih tercari-cari kemanisannya

Dari Saidina Al-Abbas ibn Abdul Muttalib r.a., beliau berkata, bahawasanya: “saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud):

“Seseorang akan merasai kelazatan iman, jika dia meredhai bahawa Allah s.w.t. sebagai Rabbnya, dan jika meredhai bahawa Islam ialah agamanya, dan meredhai bahawa Muhammad s.a.w. ialah seorang Nabi (Allah)

Hadis riyawat Imam Ahmad bin Hanbal r.a. dalam musnadnya, Imam Muslim r.a., dan Imam Ar-Rifa’ie r.a. dalam buku “Halah Ahl Haqiqah Ma’a Allah”.

Telah berkata Imam Ahmad Ar-Rifa’ie dalam buku beliau “Halah Ahl Haqiqah Ma’a Allah”: Zauq (perasaan dan kelazatan) tersebut tumbuh dari sifat redha, (adapun redha tersebut) ialah suatu makrifat (ilmu dan pengenalan) tentang Allah s.w.t.. Makrifat (mengenal Allah s.w.t.) ialah cahaya yang diletakkan oleh Allah s.w.t. di dalam hati seseorang yang dikasihi-Nya dari kalangan para hamba-Nya. Tiada satupun perkara yang lebih mulia dan agung dari cahaya tersebut (jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat Allah s.w.t. yang lain kepada para hamba-Nya). Hakikat Makrifat (mengenal Allah s.w.t.) ialah kehidupan hati dengan Tuhan yang Maha Menghidupkan seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidakkah jika seseorang itu mati, maka kami hidupkannya…” (Surah Al-An’am: 122).

Imam Ar-Rifa’ie seterusnya berkata lagi: “Sesiapa yang telah mati nafsunya, maka duanianya akan menjauhinya, dan sesiapa yang mati hatinya, maka Allah s.w.t. akan jauh darinya.”

Sheikh Ar-Rifa’ie berkata juga: “sesiapa yang melihat kepada Allah s.w.t. (menghalakan pandangan mata hatinya menghadap Allah s.w.t.), tidak akan melihat kepada dunia, dan tidak pula melihat kepada akhirat. Mentari hati seseorang Arif (orang yang telahpun mengenal Allah s.w.t.), lebih bercahaya dari mentari di siang hari…”

(Alfaqir berkata):

Maksud dari perkataan As-Sheikh, bahawa “sesiapa yang melihat kepada Allah s.w.t…” ialah, seseorang itu mula menghalakan seluruh tujuan hidupnya, seluruh tujuan amal perbuatannya, kepada Allah s.w.t.. Setiap perkara yang dilakukannya, setiap masa yang digunakannya dari usianya, dan seluruh gerak diamnya, hanya kerana Allah s.w.t., di bawah payungan rahmat Ilahi s.w.t. di dalam konsep kehambaan yang mutlak kepada Allah s.w.t..

Ini difahami oleh kaum sufi dengan istilah “At-Tawajjuh”. Hal ini merupakan intipati dari makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “katakanlah bahawasanya: solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah kerana Allah s.w.t..”

Antara hadis yang turut menjelaskan tentang perkara ini ialah hadis Jibril a.s., dalam perbahasan ihsan, di mana Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa: “Ihsan ialah, kamu menyembah Allah s.w.t. sepertimana kamu melihat-Nya. Kalaulah kamu tidak melihat-Nya sekalipun, sesungguhnya Dia melihat kamu”.

Ramai di kalangan para ulama’ sufi yang membincangkan hadis ini dari sudut batinnya, di dalam buku-buku mereka dengan perbahasan-perbahasan zauqiyah, namun cukuplah di sini, kita kutip salah satu kefahaman ringkas dan mudah dari hadis ini iaitu, berkenaan dengan musyahadah dan muroqobah.

Musyahadah (penyaksian) ialah suatu keadaan hudur Al-Qalb fi Hadratillah atau kehadiran hati yang sentiasa melihat bahawasanya Allah s.w.t. melihatnya. Kehadiran hati tersebut merupakan lawan bagi kelalaian.

Muroqobah (pengawasan) merupakan peringkat di bawah peringkat musyahadah, dan ianya merupakan peringkat asas sebelum sampai kepada peringkat musyahadah. Muroqobah bererti, pengawasan diri dan sentiasa menanamkan dan mengingatkan diri kita, bahawa Allah s.w.t. sentiasa melihat dan memerhatikan setiap gerak geri kita.