Hujah Kedua:
Tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam hanyalah sebagai seorang posmen yang membawa surat daripada seorang pengirim untuk diserahkan kepada penerimanya. Demikianlah juga Rasulullah, baginda hanya ditugaskan membawa al-Qur’an daripada Allah untuk diserahkan kepada manusia. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa’ala:
Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan sahaja. [al-Maidah 5:99]
Tugasmu (Wahai Muhammad) tidak lain hanyalah menyampaikan. [asy-Syura 42:48]
Jawapan:
Ayat-ayat di atas dan beberapa lain yang senada sebenarnya menerangkan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak dipertanggung-jawabkan untuk memastikan setiap orang menerima risalah Islam. Baginda hanya dipertanggung-jawabkan untuk menyampaikan risalah tersebut. Terima atau tidak, ia adalah berkaitan dengan hidayah dan petunjuk Allah Subhanahu waTa’ala. Dalam ertikata lain, sama ada seseorang itu menerima atau menolak Islam, itu bukan urusan Rasulullah tetapi adalah urusan mutlak Allah Subhanahu waTa’ala. Penjelasan ini akan lebih difahami dengan merujuk kepada ayat-ayat berikut:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”. [Yunus 10:108]
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). [al-Qasas 28:56]
Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azab-Nya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan). Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu). [asy-Syura 42: 47-48]
Dakwaan bahawa tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam hanya membawa al-Qur’an juga dapat ditolak dengan merujuk kepada ayat-ayat lain di dalam al-Qur’anul Karim yang sedia menerangkan pelbagai tugas dan tanggung-jawab baginda. Berikut disenaraikan antara 10 tugas dan tanggung-jawab Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.
10 Tugas dan Tanggung-Jawab Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.
[1] Mengajar manusia untuk mentauhidkan Allah Azza waJalla sahaja.
[2] Membawa al-Qur’an untuk manusia.
[4] Membersihkan manusia dari dosa dan kemungkaran.
[5] Mengajar dan menerangkan al-Qur’an.
[6] Menerang, menghurai dan memperincikan al-Qur’an.
[7] Mengajar al-Hikmah, iaitu segala ilmu-ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam al-Qur’an.
[8] Mengajar perkara-perkara baru yang sebelum itu tidak diketahui.
[9] Merangsang umat untuk sentiasa berjihad menegakkan Islam.
[10] Menggubal hukum.