Monday, September 10, 2007

Penghayatan Ramadhan jiwaku

Ramadhan mengetuk kembali leka-leka yang menyaluti rohani insani. Tiada lagi makan di siang hari. Malam pula, kawan-kawan pergi solat Tarawikh, takkanlah tak ikut sekali? Jadi, sesiapa yang disayangi Allah s.w.t., pasti akan memikir untuk berubah dan mengambil bulan Ramadhan sebagai madrasah tarbiah. Oleh itu, jadikanlah diri kita di kalangan mereka yang disayangi-Nya, dengan keinginan untuk berubah di bulan Ramadhan.

Cukuplah dari leka dengan dunia. Cukuplah dari mengejar kelazatan yang sementara. Cukuplah berlumba-lumba dalam pangkat dan harta. Cukuplah dari tenggelam dalam hiburan yang meleka. Cukuplah dari maksiat-maksiat yang membawa kemurkaan Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa.

Gantikanlah ia dengan cinta akhirat yang kekal abadi. Gantikanlah ia dengan keinginan untuk mencapai kelazatan maknawi (kebahagiaan) di akhirat nanti. Gantilah ia dengan berlumba-lumba menghampiri Ilahi (s.w.t.). Gantilah ia dengan zikir-zikir yang memenangkan rohani. Gantilah ia dengan amal soleh yang membawa keredhaan Allah s.w.t. yang Maha Mengasihi.

Dunia oh dunia. Engkau tu sekejap, bukan lama. Aku pula, akan mati entah bila. Bila aku mati, engkau nak ikut sama?

Fahamilah…

Ramadhan merenung kita, takkala kita merenung diri sendiri. Ramadhan berkata: “ubahlah diri dalam diriku” takkala kita berkata: “ke mana hala tuju diri?” Takkala itu juga Allah s.w.t.: “Wahai yang bertanya, bukankah Aku lebih hampir kepadamu dari dirimu sendiri?” Mengapa nantikan senja untuk pulang ke pengkalan?

Ramadhan sudah mari. Syaitan dah digari. Nafsu pun lemah dalam kelaparan. Masyarakat pun dah sibuk dalam amalan. Kenapa tidak mahu jadikan ia peluang untuk meraih secebis nur rohani, bernama KEINSAFAN?